Koperasi Global Jaringan Nusantara- KOGAJAN: No 1 Jalan 2/4A-1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Ethno-Sains

Pengenalan

Ethno (etno) adalah akar kata dari Greek bermaksud “kumpulan”; ia disebut ethnic (etnik) sebagai katanama yang merujuk kepada kaum atau ras. Apabila dicantumkan menjadi etnologi ia bermaksud pengajian etnik.

Di dalam disiplin ilmu antropologi (pengajian kemanusiaan), salah satu pendekatan penyelidikan yang sering digunakan ialah “etnografi” yang membawa maksud kajian yang dijalankan dengan cara mencatat maklumat di dalam satu komuniti; maklumat mengenai perbuatan, tingkah laku, budaya, aktiviti harian dan rasional disebalik semua yang dilihat berlaku dalam komuniti itu. Pengkaji akan tinggal bersama di dalam komuniti dan membuat catatan (atau tulisan dari akar kata grafi).

Apabila disebut “ethnological” ia adalah katasifat yang perlu digabungkan dengan kata nama. ia membawa makna “logik” atau rasional dalam kumpulan atau etnik. Apabila digabungkan dengan katanama, misalnya ethnological science, ethnological mathematic, ethnological wisdom, ethnological ideas, ia membawa makna sesuatu bidang atau perkara itu bersandarkan kepada kumpulan itu atau komuniti lokal.

Maka apabila disebut ethnological science, dan dipendekkan menjadi “ethno” ia perlu disambung dengan sengkang kerana ia tidak berdiri sendiri. Science adalah perkataan yang berasal dari Latin yang bermakna “ilmu”.

Apbila kita menggunakan perkataan ethnological science, dipendekkan menjadi ethno-science, bermaksud ilmu etno, ilmu dalam komuniti lokal, atau local knowledge atau local wisdom atau indigenous knowledge atau dalam bahasa hari ini disebut “ilmu kearifan tempatan”.

Seterusnya kita cuba mengaitkan etno-sains dan perubatan. Secara semantik, sains perubatan yang berasaskan etno itu disebut etno-sains perubatan, kerana bukan perubatan itu yang etno, tetapi ilmu itu yang etno. Misalnya sains perubatan dikaitkan dengan “sains” yang ada kaitan dengan ujian makmal dan ujian klinikal, tetapi etno-sains tidak menjalakan ujian makmal dan ujian klinikal.

Walaupun perkataan “perubatan” itu sama, tetapi epistemologi sains perubatan dan etno-sains perubatan itu tidak sama konsepnya. Konsep sains perubatan membawa konotasi merawat, mengubat, dan memberi khidmat memulihkan pesakit. Manakala konsep etno-sains perubatan ialah menjaga kesihatan, mencegah penyakit dan merawat penyakit. Apa rasional perbezaan ini?

Rasionalnya ialah semua komuniti etnik dalam dunia sudah pun mempunyai sistem perubatan masing-masing ribuan tahun sebelum diperkenalkan “sains perubatan” termasuk khidmat hospital dan klinik kepada masyarakat moden. Dahulu, setiap komuniti etnik memiliki korpus ilmu kebijaksanaan atau kearifan (knowledge and wisdom) tempatan misalnya bagaimana menjaga kesihatan, bagiamana mengamal diet makanan, bagaimana mencegah pelbagai penyakit, bagaimana merawat luka, bagaimana menyambut kelahiran anak, bagaimana merawat demam, dan pelbagai lagi. Setiap komuniti ada “doktor’ atau “tabib” sendiri yang dikenali sebagai bomoh, pawang, tok mudim, dan bidan. Ilmu etnik ini bersifat pemerhatian tentang alam, dipelajari dari alam persekitaran dan interaksi dengan haiwan dan alam. Pendekatan ‘trial-and-error” berlaku sebagaimana satu hipotesis diuji dari masa kesemasa sehingga hasil ujian menjadi satu ilmu yang berkumpul secara akumulatif. Konsep perubatan etnik ini bukan sahaja berfokus kepada merawat, tetapi menjaga kesihatan dan mencegah penyakit terlebih dahulu. Mencegah itu lebih baik dari merawat. Manakala konsep “sains perubatan” yang dijelmakan di hospital dan klinik ialah merawat atau mengubati penyakit.

Etno-sains dieja dengan bantuan sengkang (-) kerana sains itu bersandarkan korpus ilmu etnik. Ia tidak dieja dengan “etnosains” kerana ia tidak kekal etno semata-mata. Ia perlukan sains (ilmu) yang menjadi aset dan harta intelek kepada sesuatu komuniti. Dengan kemajuan ilmu dan teknologi, ilmu perubatan bersandarkan etnik ini boleh berubah dengan adanya penemuan baru dalam oleh anggota komuniti etnik bagi menangani penyakit sedia ada atau penyakit baru yang muncul. Maka dengan itu ia dieja etno-sains yang mana semantik bahasanya yang lebih sesuai dan lebih tepat.

Di negara India, terdapat korpus etno-sains perubatan mereka yang dikenali sebagai ayurveda (sember flora dan fauna), manakala di China korpus etno-sains perubatan mereka disebut sebagai sensei atau ginseng (sember flora dan fauna). Di Jerman, etno-sains perubatannya disebut sebagai homeopathy. Di negara ini atau rantau ini, perubatan Melayu atau perubatan tradisional Melayu, tetapi ungkapan ini tidak tepat kerana ia bukan bersifat etnik tetapi berbau rasis. Kita perlu memahami bahawa rantau ini memiliki penduduk dari pelbagi etnik tetapi diletakkan di bawah rumpun Melayu. Ciri-ciri etnik di rantau ini mempunyai warna kulit sawo matang, tingginya sekitar 160-170 cm, mempunyai banyak persamaan dalam bahasa, makanan, adab, adat dalam budaya serta agama. Ptomely menggelar rantau ini sebagai Golden Chersonese atau Semanjung Emas, manakala Afred Wallace menyebut rantau ini sebagai Malay Archipelago.

Rantau ini adalah kawasan maritim di mana terdapat pertemuan antara beberapa laut, yang menjadi laluan kapal. Laun Adaman, Selat Melaka, Laut China Selatan, Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Rantaiu ini pernah dikenali sejak awal abad ke 2 apabila kawasan utara Semenanjung di Sg Batu Lembah Bujang menjadi tumpuan sebagai pusat peleburan besi dan mutu besi terbaik dalam dunia. Di zaman itu, penduduk dari pelusuk dunia telah meredah Lautan Hindi dan Laut Adaman hingga berlabuh di Kuala Sg Merbok Kedah Tua. Di sebelah selatan pula apabila Melaka mula dikenali di abad ke 13, penduduk dunia mula berdagang ke Melaka dan belayar dari timur ke barat melalui Selat Melaka, di selatan Laut Adaman, untuk pergi ke negara China. Oleh kerana interaksi manusia dari pelbagi pelusuk dunia ini sudah pasti ilmu tentang kesihatan dan perubatan dikongsikan dan digabungkan menjadi korpus perubatan Alam Melayu. Ia tidak bermakna ilmu itu dari bangsa Melayu sahaja tetapi ia didominasi oleh penduduk induk di rantau ini iaitu bangsa Melayu (Malay nation, not Malay race). Maka lebih tepat kita gunakan ungkapan etno-sains perubatan Alam Melayu dan bukan etno-sains perubatan Melayu untuk mengesahkan keberadaannya (ontologi) setelah kita memahami konsep asasnya (epistemologi) perubatan etnik.

Sumber : https://supyanhussin.wordpress.com/2022/03/21/etno-sains-perubatan/