Koperasi Global Jaringan Nusantara- KOGAJAN: No 1 Jalan 2/4A-1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

7 Aras Ilmu

Pada 30 Mac 2012,  saya telah memaparkan satu artikel di https://supyanhussin.wordpress.com/2012/03/30/falsafah-huruf-ain-membezakan-maklumat-dan-ilmu/ mengenai falsafah huruf ‘ain  dan hubungannya dengan maklumat dan ‘ilmu.

Setelah lebih setahun, melalui proses perbincangan ilmiah dan pembentangan kertas kerja serta kursus pengajaran dan pembelajaran mengenai falsafah huruf ‘ain ini, saya ingin menambah 3 lagi perkataan dalam bahasa Arab yang bermula dengan ‘ain berkaitan dengan perbezaan maklumat dan  ‘ilmu.  Pada artikel yang pertama, dibahaskan ‘ilmu tidak wujud tanpa ada pemerhatian tentang ‘alam. Apa yang berlaku dalam kehidupan dan ‘alam kita, kita dapat melihat pola, tabiat, atau trend, yang dilihat sebagai maklumat.

Perbahasan awal mengenai beza antara maklumat dan ‘ilmu adalah bersandarkan kepada:

1. ‘alam عالم

2. ‘ilmu علمو

3. ”amal عمل

Pada 11 September 2013, setelah dibahaskan dalam siri-siri ceramah, pembentangan kertas kerja dan bengkel mengenai maklumat dan ilmu, maka terhasil tiga lagi ‘ain dalam senarai iaitu:

1. ‘alam عالم

2. ‘ibarah عباره

3. ‘ilmu علمو

4. ‘amal عمل

5. ‘alim عاليم

6.  ‘abid عبيد

Ini telah dirakamkan dalam tulisan di https://supyanhussin.wordpress.com/2013/09/11/lanjutan-penulisan-falsafah-huruf-ain/

Terkini, mulai 6 Mei 2014, tercetus ilham bagi melengkapkan  falsafah ‘ain ini dengan satu lagi ‘ain iaitu ‘akal.

1. ‘alam عالم

2. ‘akal عقل

3. ‘ibarah عباره

4. ‘ilmu علمو

5. ‘amal عمل

6. ‘alim عاليم

7. ‘abid عبيد

Bagi menguasai ‘ilmu, seseorang itu memerlukan bahasa untuk mengkonsepsikan maksud perkataan bagi sesuatu benda mahupun untuk berbincang atau berkomunikasi mengenai sesuatu benda itu. Memiliki sesuatu bahasa untu menamakan sesuatu benda atau perkara adalah proses mencatat ilmu dan komunikasi. Hal ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam kita suci Al Quran yang mengisahkan penciptaan Nabi Adam a.s. Allah mengajar Nabi Adam akan nama-nama benda dalam bahasa yang diberikan kepada Nabi Adam supaya Nabi Adam memahami konsep sesuatu benda yang memiliki nama yang khususnya misalnya pokok, air, burung, tanah dan pelbagai lagi.

Dengan adanya nama-nama benda, maka ia memudahkan manusia untuk bercakap, berbincang dan berbahas  mengenai sesuatu maklumat atau  ‘ibarah sebelum ia menjadi secbis ‘ilmu.

Apabila ‘ilmu itu disudah dimantapkan, maka ia akan digunapakai dalam pelbagai konteks, dan penggunaan ini disebut sebagai ‘amal, yang dieja dalam tulisan jawi dengan huruf ‘ain juga. Orang yang mahir dalam ‘ilmu disebut sebagai ‘alim. Kata jama’ pada ‘alim ialah ‘ulama’. Oleh itu kita boleh melihat bagaimana ‘ain dalam ‘alam, ‘ain dalam ‘ilmu dan hubungannya dengan ‘ain dalam ‘amal. Ia tersusun begitu rupa berdasarkan sunnatullah yang dicipta oleh Allah dan urutan itu bukan berlaku secara kebetulan.

Seorang yang ‘alim atau pintar atau pakar belum tentu mempunyai hubungan dengan Tuhan dan belum tentu tunduk dan patuh pada Tuhan. Apabila seorang ‘alim tidak merasakan kehadiran Tuhan yang Maha Pencipta sekelian makhluk dan ‘alam, maka belum tentu ‘ilmunya akan dipandu oleh nilai moral atau akhlak yang bertunjangkan kepercayaan kepada Tuhan.

Maka di sini perlunya seorang yang ‘alim itu memiliki sifat ‘ubudiyyah terhadap Tuhan. Menjadi seorang yang ‘abid dan memiliki jiwa ‘hamba’ kepada Tuhan akan menjadikan seorang ‘alim itu memiliki sifat-sfat yang baik seperti rendah diri, timbangrasa, mesra, kerjasama, prihatin, dan suka  tolong menolong. Dengan sifat demikian, seorang ‘alim akan terus mencari dan menambah ‘ilmu dalam ‘alam yang luas ini serta  menjana dan menyebar ‘ilmu kepada orang lain yang turut sama dahagakan ‘ilmu. Inilah satu bentuk kepatuhan, ketundukan, dan kesyukuran orang ‘alim pada Tuhannya.

Sebagai kesimpulan, maka jelaslah bahawa maklumat tidak sama dengan ‘ilmu.  Maklumat hanyalah data atau cebisan paparan yang boleh dibaca atau didengar dan boleh difahami yang dikenali sebagai ‘ibarah. Maklumat menjadi  ‘ilmu setelah ia melalui proses kematangan kognitif. Ada manusia yang menjadikan maklumat sebagai barang komoditi yang boleh dijual dan dipakejkan dalam pelbagai bentuk; ada manusia yang menjual ilmu dan mengenakan yuran untuk menjual sesuatu ‘ilmu. Kapitalis melihat maklumat dan ‘ilmu sebagai suatu bentuk yang boleh didagangkan, manakala ada kelompok manusia yang menggangap kedua-duanya iaitu maklumat dan ‘ilmu harus dikongsikan bersama.

Sumber : https://supyanhussin.wordpress.com/2014/05/09/terkini-falsafah-huruf-ain-dalam-pembinaan-ilmu-dan-hubungan-dengan-tuhan/