Koperasi Global Jaringan Nusantara- KOGAJAN: No 1 Jalan 2/4A-1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Lanjutan 7 Jenis Jin

Dalam berpuluh kajian kes yang diteliti melibatkan penyakit yang disebabkan oleh gangguan makhluk halus atau Jin, terdapat tujuh jenis tugas Jin yang dboleh dirumuskan.

  1. Jin menggoda, menghasut
  2. Jin mengikut
  3. Jin menumpang
  4. Jin bermukim
  5. Jin sukarela-paksa
  6. Jin upahan
  7. Jin perjanjian, saka

Jin no. 1 adalah jin paling ramai; tugasnya menggoda, melalaikan, menghasut manusia samada beriman atau tidak beriman. Ia menghasut manusia supaya menipu, bergaduh, bercakap kotor, membuat kotor, membunuh orang, dan membuat apa sahaja kerja jahat dan mungkar. Ia mengganggu rumahtangga sehingga berlaku perceraian. Ia menggoda manusia supaya berzina. Ia melalaikan orang yang sedang solat atau orang yang mahu mendekati Tuhan. Jin no 1 ini gembira bila manusia tidak solat, tidak buat amar maaruf, bercerai berai, bergaduh, dan lalai. Cara tangani Jin ini ialah dengan menguatkan NUR, aura, “inner strength” atau “electromagnetic field” dalam diri dengan amalan-amalan yang digariskan Al Quran dan Sunnah selain daripada mengamalkan bacaan doa “Aku berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan yang terkutuk, serta pengikut-pengikut dan anak-anaknya.” Silat lihat kaedah penambahan dan pengukuhah NUR dalam diri di:  https://supyanhussin.wordpress.com/2016/10/16/cas-bayaran-khidmat-perubatan-islam-nur-dan-nar/

Dalil menunjukkan Jin No 1 ini melakakan perbuatan menghasut, menggoda:

  • Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas’ud r.a. maksudnya: “Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah.” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuislamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Riwayat Ahmad dan Muslim)
  • “Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepada mereka agar menampakkan aurat mereka (yang selama ini) tertutup. Dan (syaitan) berkata,”Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini, agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal(dalam syurga)”(Surah al-A’raf: ayat 20)
  • “Setelah Syaitan merosakkan(hubungan) antara aku dan saudara-saudaraku”(Surah Yusuf: 100)
  • “Dan katakanlah, Ya Tuhanku…Aku berlindung dengan Engkau daripada godaan syaitan-syaitan”(Surah al-Mukminun: ayat 97)
  • Rasulullah bersabda, “Iblis membangun istananya di atas air, kemudian dari sana ia mengirimkan (menyebar) pasukannya. Kemudian sang Iblis memanggil salah satu dari pasukan yang paling pandai membuat onar atau paling berbahaya untuk melaporkan tugas yang dikerjakannya. Saya telah melakukan ini…dan itu….kata salah satu pasukan itu, namun sang Iblis menjawabnya : “kamu belum berbuat apa-apa!”. Kemudian datang lagi salah satu pasukan yang lain. “Aku tidak akan membiarkan dia sampai aku dapat memisahkan dia dengan isterinya, bagus! puji Iblis kepada pasukan yang berhasil merusak keharmonisan suami isteri tersebut.” (HR. Muslim).
  • Firman Allah SWT maksudnya : ” … dan (syaitan) itu mengatakan, ‘Aku pasti akan mengambil bagian tertentu dari hamba-hamba-Mu, dan pasti akan ku sesatkan mereka, dan akan ku bangkitkan angan-angan kosong pada mereka…” (Surah an-Nissa’ ayat 118-119).
  • Firman Allah SWT maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

Jin no. 2 mengikut manusia ke tempat kediaman manusia. Lazimnya dia mengikut bayi-bayi kecil ke rumah tanpa disedari oleh ibubapa anak kecil. Ia menggangu bayi hingga bayi menangis ketakutan, biasanya waktu selepas matahari jatuh atau waktu maghrib, pada waktu malam, dan pada waktu sebelum matahari naik. Ada kala mata bayi terbeliak, merenung pada satu-satu tempat. Jin no 2 juga mengikut orang dewasa ke dalam rumah. Ia akan makan, tidor, mandi, berehat bersama kita. Cara tangani Jin no 2 ini kita dari luar rumah ialah dengan membaca Bismillahirahmanirrrahim atau beri salam sebelum masuk ke dalam rumah seperti dinasihatkan oleh Nabi. Ketika itu Jin no. 2 tidak akan masuk ke dalam rumah. Malah elok juga amalkan doa “Aku berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan yang terkutuk, serta pengikut-pengikut dan anak-anaknya” dalam aktiviti harian kita.

  • Abu Malik al-Asy’ari Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada bersabda: Maksudnya: “Apabila seorang lelaki hendak masuk ke rumahnya maka hendaklah dia berdoa: “Ya Allah! Aku memohon kepadaMu ssebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah Tuhan kami, kami berserah”. Kemudian hendaklah sesseorang itu membeeri salam ke Atas keluarganaya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Jin no. 3 ialah jin yang merayau atau berjalan ke sana ke mari lalu singgah dan menumpang di rumah atau bangunan kosong atau yang ditinggalkan lama atau paling tidak rumah atau bangunan yang ditinggalkan lebih tiga hari. Apabila ia masuk menumpang, ia akan berkampung bersama suku sakatnya.  Cara tangani Jin no 3 ini ialah membaca Bismillahirahmanirrrahim atau beri salam sebelum masuk ke dalam rumah, mengebas tempat tidor dengan kain sebanyak 3 kali, dan melakukan solat serta membaca ayat-ayat Quran secara konsisten di rumah. Adalah wajar juga amalkan doa “Aku berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan yang terkutuk, serta pengikut-pengikut dan anak-anaknya” dalam aktiviti harian kita.

  • Nabi s.a.w. bersabda  (yang ertinya): “Bila seseorang masuk rumahnya, lalu menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan, maka syaitan berkata (kepada kumpulannya): Tidak ada penginapan bagi kamu dan tidak ada makanan malam bagi kamu. Jika seseorang itu masuk rumahnya dan tidak menyebut nama Allah, maka syaitan berkata (kepada kumpulannya): Kamu mendapat penginapan. Dan jika seseorang tidak menyebut nama Allah ketika makan, maka syaitan berkata (kepada kumpulannya): Kamu akan mendapat penginapan dan makanan untuk malam.” Shahih Muslim no. 2018
  • Dari Abu Hurairah dia berkata Nabi SAW bersabda: ” Jika seseorang kalian pergi ke katil tidurnya, hendaklah ia mengibas atau membersihkan katilnya dengan bahagian dalam sarungnya, kerana dia tidak mengetahui apa yang ada di sebalik katilnya. Setelah itu ia berdoa ” Dengan nama-Mu, wahai Rabbku, aku letakkan badanku, dan dengan nama-Mu pua aku bangkit kembali, dan Jika Engkau tahan jiwaku, maka rahmatilah ia. Jika engkau biarkan lepas, maka jagalah ia sebagaimana Engkau menjaga jiwa-jiwa hambaMu yang soleh.” – Hadis riwayat al-Bukhari no. 6320, Muslim no. 2714.

Jin no. 4 adalah jin yang sudah bermukim di sesuatu tempat, samada di hutan, belukar, kawasan ladang, sungai, laut, bukit, gunung dan bilik air (jamban).. Mereka mempunyai keluarga dan komuniti mereka sendiri. Apabila tempat mereka dikotori, diceroboh atau diganggu, maka jin yang bermukim ini akan bertindak pertahan tempat mereka dan menyerang penceroboh dari kalangan manusia. Ia menyerang mereka yang mengotori kawasan jin bermukim. Ia mengganggu pemaju dalam pembinaan rumah/bangunan, mematikan enjin mesin yang digunakan pemaju di kawasan pembinaan, dan ia menyebabkan kemalangan berlaku di tempat pembinaan. Ia mengganggu penghuni rumah/bangunan baru setelah rumah/bangunan itu siap dan memporak perandakan penghuni dan keluarganya. Cara tangani Jin no 4 ialah dengan meNURkan rumah/bangunan baru pada permulaan masuk menghuni rumah/bangunan tersebut dan secara berterusan  meNURkannya. Silat lihat kaedah penambahan dan pengukuhah NUR dalam diri di:  https://supyanhussin.wordpress.com/2016/10/16/cas-bayaran-khidmat-perubatan-islam-nur-dan-nar/

  • Nabi Muhammad s.a.w. menyebut tentang jin yang bermukim ini dalam sebuah hadis: Jin itu ada tiga golongan. Satu golongan yang mempunyai kepak yang terbang ke sana ke mari ( di udara ), satu golongan pula berbentuk ular dan anjing, manakala golongan yang ketiga ada yang tinggal setempat dan ada yang berpindah-randah. [Hadits Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak]
  • Dari Sa’id Al-Khudri dikatakan Rasulullah SAW bersabda, “Di dalam rumah terdapat penghuni-penghuni (jin) maka jika kamu melihat sesuatu (yang aneh) maka usirlah ia 3 kali, kalau ia pergi maka biarkanlah, tapi jika ia membandel (tidak mau pergi) maka bunuhlah, sebab ia pasti jin kafir,” [HR. Muslim]
  • Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada satu rumah orang muslim pun kecuali di atap rumahnya terdapat jin muslim. Apabila ia menghidangkan makanan pagi, mereka (jin) pun ikut makan pagi bersama mereka. Apabila makan sore dihidangkan, mereka (jin) juga ikut makan sore bersama orang-orang muslim. Hanya saja, Allah menjaga dan menghalangi orang-orang muslim itu dari gangguan jin-jin tersebut” [HR. Abu Bakar dalam Kitab Fathul Bari oleh Ibnu Hajar Atsqolani]
  • Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya jamban-jamban (WC) itu dihuni oleh Jin” [HR. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad]
  • Dari Abdullah bin Sarjas, Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah seseorang di antara kalian kencing di lubang”, mereka bertanya kepada Qatadah, “Mengapa tidak boleh kencing di lubang?”, Qatadah menjawab, “Rasulullah SAW mengatakan karena lubang itu adalah tempat tinggalnya golongan jin.” [HR. Nasai dan Ahmad]
  • Rasulullah bersabda, Janganlah kalian menjadi orang yang pertama kali masuk ke pasar atau menjadi orang yang paling akhir keluar dari pasar, karena pasar itu merupakan tempat berseterunya para syaithan. Dan di pasarlah syaithan menancapkan benderanya,” [HR. Muslim]

Jin no. 5 iaitu jin sukarela-paksa memasuki tubuh badan orang lain secara seru atau paksa. Jin sukarela ialah jin yang hadir atau datang dalam diri penyeru apabila ia dipanggil atau diseru. Penyeru boleh jin ini untuk masuk berjalanji dalam alam jin dan berkomunikasi dengan jin yang lain. Jika ia digunakan untuk pertahanan ini, penyeru ini “menurun”.  Jin ini biasanya digunakan untuk mencantikkan diri dan melindungi diri  penyeru. Orang yang menggunakan susuk untuk mencantikkan wajah dan menarik perhatian orang lain, serta orang yang menggunakan susuk untuk mejadi kebal juga termasuk dalam kategori menyeru jin untuk memenuhi hasrat mereka ini. Manakala jin paksa ialah jin yang masuk ke dalam tubuh manusia secara sesat atau terpaksa untuk mencari “rumah baru”  atau tuan baru. Ia boleh melompat masuk ke dalam tubuh yang lemah NUR dan menguasai diri tuan barunya. Biasanya ia berlaku dalam suasana jin terdesak atau mencari tempat bersarang apabila terlibat dalam sesuatu peristiwa sesak atau terperangkap. Jika jin ini jin kafir, maka tuan baru sukar untuk solat atau membaca al-Quran selepas ia masuk ke dalam tubuh badannya. Kalau jin itu jin Islam, ia menjadi sebaliknya iaitu tidak  mengganggiu orang itu solat atau dekati al Quran tetapi tuan baru akan dikuasai oleh jin ini. Jin ini boleh menjadi khadam kepada pemilik baru ini. Cara tangani Jin no 5 ialah pertama tinggalkan amalan seru jin masuk dalam tubuh badan atau berhenti seru jin menjadi khadam kita. Kemudian bertaubat dengan bersungguh. Bagi mereka yang dimasuki tubuh badannya oleh jin secara paksa, hendaklah mendapatkan rawatan dari perawat yang banyak NUR dan banyak pengalaman tanpa melakukan perkara-perkara syirik serta cas bayaran yang tidak masuk akal. Seterusnya perlu kukuhkan NUR dalam tubuh badannya. Silat lihat kaedah penambahan dan pengukuhah NUR dalam diri di:  https://supyanhussin.wordpress.com/2016/10/16/cas-bayaran-khidmat-perubatan-islam-nur-dan-nar/

  • Jin masuk melalui mulut“Abu Said berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang dari kalian menguap, letakkanlah tangannya pada mulutnya (tutuplah), karena setan akan masuk bersama dengan orang yang menguap (yang mulutnya tidak ditutup)” (H.R. Muslim)
  • Abu Hurairah berkata, Rasulullah S.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap. Apabila seseorang bersin lalu mengucapkan al-hamdulillah, maka muslim yang mendengarnya harus mendoakannya. Adapun menguap datangnya dari setan, karenanya tahanlah sedapat mungkin. Apabila ia menguap terus keluar suara “haaa”, maka setan akan tertawa” (H.R. Bukhari)
  • Jin masuk melalui kuku. Wahai Abu Hurairah, potonglah (perpendek) kuku-kukumu. Sesungguhnya setan mengikat (melalui) kuku-kuku yang panjang. (H.R. Ahmad)
  • Jin masuk melalui hidung. Bahwa Nabi s.a.w.. bersabda: Apabila salah seorang di antara engkau bangun tidur, hendaklah mengeluarkan air dari hidungnya (istintsar) tiga kali, karena setan itu menginap di batang hidungnya. (H.R. Muslim).
  • Jin memasuki telinga. Abdullah berkata, “Disebutkan di sisi Nabi bahwa ada seorang laki-laki yang selalu tidur sampai pagi tanpa mengerjakan shalat (malam). Lalu beliau bersabda, ‘Setan telah kencing di telinganya (H.R. Muslim)

Jin no. 6 iaitu Jin upahan merupakan jin yang paling kerap menjadi sumber kepada amalan sihir yang menyiksa dan membinasakan orang yang dibenci. Jin no 6 ini dipuja oleh perawat (bomoh) dan berlaku dalam semua etnik tanpa mengira agama. Jin diupah oleh bomoh untuk melakukan sesuatu perkara “luarbiasa” serta jahat sepertimana yang dimahukan oleh pengadu yang sanggup membayar apa sahaja bagi menyusahkan atau memusnhakan orang dimusuhinya. Jin akan menyatakan apa bentuk “pengeras” bagi melaksanakan tugas jahat itu. Terdapat berpuluh cara atau kaedah untuk menggunakan jin upahan ini untuk menyerang manusia sasaran, dari jauh atau dari dekat, melalui objek, makanan, air, pakaian, angin, udara, minyak, patung dan 1001 satu macam cara.  Orang yang terkena sihir lazimnya akan bermimpi pelbagai yang pelik dan terlihat kelibat serta tanda-tanda fizikal mewakili kehadiran jin. Cara tangani Jin no 6 ialah mesti kukuhkan NUR dalam tubuh badan dan jiwa disamping mendapatkan khidmat rawatan dari perawat yang banyak NUR dan banyak pengalaman tanpa melakukan perkara-perkara syirik serta cas bayaran yang tidak masuk akal.

  •  Firmah Allah: “Dan bahawasannya ada beberapa orang lelaki diantara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki diantara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Al Jin: 6)
  • Firman Allah: “(aku berlindung) dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul (Q.S. Al-Falaq:3-4)

Jin no. 7 ialah jin saka yang diambil dan dipelihara oleh diri sendiri. Cara mendapatkan jin saka ini boleh berlaku dengan “mengambilnya” di tempat tertentu, diambil dari bomoh, dan diambil oleh orang lain yang ada jin saka. Lazimnya pemilik mendapatnya melalui “persetujuan” warisan (MOU – memorandum of understanding) atau melalui mimpi atau dalam sedar apabila pemilik jin saka memberikan “perjanjiannya” kepada orang seterusnya ketika ia sakit atau dalam nazak. Jin saka ini tidak mengganggu orang lain dan pada dasarnya menjaga pemiliknya, tetapi ia boleh menyerang orang lain jika tuannya atau har milik tuannya diganggu. Jin no 7 ini juga boleh bertempur dengan Jin no 3, 4, 5 atau 6 jika Jin no 7 merasa terganggu atau terancam dengan hadirnya Jin no 3, 4, 5 atau 6 dalam “kawasannya”.  Cara tangani Jin no 7 ialah perlu dapatkan khidmat rawatan dari perawat yang banyak NUR dan banyak pengalaman bagi mengeluarkan jin saka tanpa melakukan perkara-perkara syirik serta cas bayaran yang tidak masuk akal; selepas itu, orang ini hendaklah bertaubat dan berhenti mengulang dosa dan maksiat ini. Kemudian susuli amalan kukuhkan NUR dalam diri di:  https://supyanhussin.wordpress.com/2016/10/16/cas-bayaran-khidmat-perubatan-islam-nur-dan-nar/

  •  Firmah Allah: “Dan bahawasannya ada beberapa orang lelaki diantara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki diantara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Al Jin: 6)

Daripada 7 jin ini, Jin no 6 adalah yang paling bahaya kerana ia diupah menyerang mangsa secara berterusan sehingga mangsa sakit dan boleh sampai ke tahap mati. Jin yang kedua bahaya ialah jin no. 7 iaitu saka, walaupun ia tidak menyerang orang lain, ia kekal lama dalam diri tuannya, dan menyusahkan diri tuan pemilik jin ketika hampir mati.

Kesimpulannya, beriman dengan perkara ghaib adalah sebahagian daripada tuntutan iman dalam Islam sebagaimana yang digariskan dalam Rukun Iman. Tetapi kta tidak boleh beriman dengan kuasa makhluk halus kononnya lebih kuat atau lebih hebat dari kuasa Allah SWT kerana Allah adalah Pencipta makhluk halus. Makhluk halus seperti Jin tidak boleh mengatasi kuasa Allah, tidak boleh mengalahkan ayat-ayat Al Quran, tidak boleh mengatasi manusia yang mempunyai NUR, aura atau electromagnetic field diri yang besar dan kuat. Menggunakan kuasa makhluk halus, bergantung harapannya kepadanya, dan percaya makhluk menjadi pelindung dan penyelamat manusia adalah fikiran dan perbuatan syirik. Maka bertaubatlah kepada Allah dan tinggalkanlah semua angkara dan maksiat bersama jin ini.

Nota: Sebahagian kandungan penulisan ini adalah hasil rumusan kajian LRGS/TD/2012/USM-UKM/KT/03 yang dijalankan sejak 2012-2016

Baca lagi: